Johor sedia RM1 juta baiki tebing Galeri Bukit Kepong



KERAJAAN
negeri Johor memperuntukkan RM1 juta bagi membaik pulih tebing Sungai Muar.

Peruntukan itu bagi membaiki kawasan tebing yang terletak berhampiran Galeri Darurat Bukit Kepong ekoran hakisan yang menyebabkannya berisiko runtuh.

Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata kerja baik pulih tebing sepanjang kira-kira 100 meter itu perlu dijalankan bagi memastikan keselamatan orang ramai, terutama pengunjung galeri berkenaan.

“Kerja baik pulih ini selain untuk Galeri Darurat, ia juga untuk tarikan orang ramai melakukan aktiviti riadah di sekitar Sungai Muar berhampiran Mukim Bukit Kepong ini,” katanya dipetik laporan Bernama.

Dr Sahruddin sebelumnya berucap pada majlis tahlil sempena ulang tahun peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat Bukit Kepong semalam.

Sementara itu, Mazlan dalam ucapannya berkata Galeri Darurat Bukit Kepong merupakan khazanah sejarah dalam memperingati pelbagai insiden yang berlaku semasa era darurat selain peristiwa Bukit Kepong dan pengorbanan pasukan keselamatan.

Beliau berkata galeri itu juga telah disenaraikan Polis Diraja Malaysia sebagai lokasi tumpuan utama yang harus dikunjungi dalam kalender pelancongan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2020.

“Menurut rekod kami, sehingga hari ini galeri ini sudah menerima sejumlah 191,275 pengunjung dan berharap ia akan terus bertambah, lebih-lebih lagi pada tahun ini yang merupakan Tahun Melawat Negeri Johor,” tambahnya menurut portal itu.

Post a comment

0 Comments