Jumpa kaki kanak-kanak, tapi milik siapa ?


PIHAK polis bingung dengan penemuan tiga anggota tapak kaki bersaiz kanak-kanak di belakang sebuah bengkel di Kota Kinabalu semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata, anggota badan itu dipercayai milik kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun ditemui di belakang sebuah bengkel di Pelabuhan Sepanggar.

Penemuan itu jelasnya disedari seorang pekerja bengkel  yang ternampak beberapa ekor anjing sedang bermain, sambil menggigit kaki-kaki yang telah mereput itu kira-kira jam 6 petang tadi.

“Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, sepasukan anggota yang menjalankan pemeriksaan menemui tiga tapak kaki tanpa anggota badan lain.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, tiada kesan potongan di tapak kaki berkenaan dan hanya ada kesan gigitan yang dipercayai gigitan binatang,” katanya dipetik.

Penemuan itu juga tegasnya menjadi tanda tanya, sama ada ia milik kanak-kanak hilang atau kanak-kanak yang dikebumikan sebelum ini yang dikhuatiri digali oleh anjing.

Ini kerana tegasnya pemeriksaan lanjut berhampiran lokasi penemuan tapak kaki itu, juga tidak menemui anggota badan yang lain.

“Siasatan masih dijalankan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan dibantu pasukan Forensik, termasuk anjing K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Habibi meminta orang ramai yang tinggal di lokasi berhampiran dan kehilangan anak atau sebelum ini pernah mengebumikan kanak-kanak, supaya memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Polis akan melakukan siasatan daripada semua aspek, bagi mengenal pasti identiti pemilik tapak kaki itu,” tambahnya dipetik laporan Bernama.

Post a comment

0 Comments