Ka Siong tak faham skim mySalam - Tony Pua


SETIAUSAHA Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua menyelar spekulasi Pengerusi MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkaitan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Menurut Tony, Ka Siong membangkitkan kembali  masalah tuntutan lama yang telah dilaporkan oleh media tahun lalu sedangkan hal-hal berkaitan telah pun dijelaskan secara terperinci oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah mySalam pada November 2019.

“Antaranya, tuntutan bermasalah pertama tidak mempunyai maklumat yang lengkap seperti pengesahan daripada doktor. Tuntutan bermasalah kedua pula telah ditolak kerana pemohon tersebut telah menerima tuntutan hospitalisasi maksimum setahun iaitu sebanyak RM700.

“Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan bukan satu tetapi dua surat pekeliling kepada semua pengarah hospital, pengarah kesihatan negeri dan pengarah institusi pada 14 Ogos 2019 dan 13 Januari 2020 agar caj bayaran laporan perubatan dikecualikan daripada pesakit yang membuat tuntutan Skim mySalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tony yang juga Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata, keadaan itu jelas membuktikan keikhlasan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha meringankan bebanan pesakit apabila tiada caj tambahan dikenakan ke atas pihak pesakit.

“Kalau beliau tidak tahu, biar saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan sekali lagi kepada Pengerusi MCA bahawa Skim mySalam ini tidak akan memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak kecuali rakyat Malaysia.

“Semua premium yang dibayar kerajaan, jika tidak digunakan sebagai tuntutan oleh penerima manfaat, akan dibayar balik kepada Tabung Amanah mySalam. Sekali lagi, hal ini telah pun dijelaskan secara berulang kali di Dewan Rakyat dan melalui kenyataan rasmi Kementerian Kewangan pada 6 Ogos 2019.

“Seperti mana-mana kebiasaan pelaksanaan inisiatif baru, proses penyebaran maklumat, aktiviti-aktiviti meningkatkan kesedaran untuk ianya menjadi tuntutan akan mengambil masa yang agak lama,” tegasnya.

Tambah Tony lagi, Ka Siong mungkin tidak faham matlamat Skim mySalam yang membantu penghidap penyakit kritikal atau kehilangan pendapatan yang terpaksa menerima rawatan kesihatan kerana skim serupa seperti itu tidak pernah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. 

Post a comment

0 Comments