Kapal dikuarantin kerana seorang penumpang


SEBUAH kapal pesiaran yang dilapor membawa 3,500 orang dikuarantin pihak berkuasa jepun gara-gara seorang penumpangnya.

Jurucakap kanan kerajaan Jepun Yoshihide Suga menyatakan kelmarin bahawa pihak berkuasa Jepun akan mengkuarantinkan kapal, yang tiba di Yokohama Bay itu.

Memetik laporan agensi berita AFP berkata, tindakan itu dilakukan selepas seorang penumpang berusia 80 tahun yang turun dari kapal pada 25 Januari di Hong Kong didapati sebagai positif jangkitan Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Rakaman televisyen menunjukkan gambar beberapa pegawai kuarantin memasuki kapal pesiaran, Diamond Princess, di pelabuhan Yokohama pada petang kelmarin bagi memeriksa kesihatan semua 2,500 penumpang dan 1,000 anak kapal.

Lapor agensi itu lagi, seorang wanita berusia 20-an yang belayar bersama dengan ibunya di dalam kapal memberitahu syarikat penyiaran swasta TBS semalam bahawa semua penumpang “telah diminta agar tidak keluar dari bilik mereka bagi menunggu untuk pemeriksaan virus.”

Sejak Sabtu, Jepun menyekat rakyat asing yang telah pergi ke Hubei sejak beberapa minggu lepas, termasuk pemegang pasport China yang dikeluarkan di Hubei.

Ketibaan yang menunjukkan simptom-simptom Koronavirus juga tidak akan dibenarkan masuk.

Pihak kementerian kesihatan menyatakan sehingga kelmarin 20 orang di Jepun telah didapati positif bagi virus baharu tersebut, di mana empat tidak menunjukkan sebarang simptom.

Post a comment

0 Comments