Kebebasan bersuara bukan ruang sebar fitnah - AG


PEGUAM
Negara Tan Sri Tommy Thomas memandang serius pembohongan yang berleluasa berhubung koronavirus yang menjadi perhatian rakyat Malaysia dan masyarakat global ketika ini.

Jelasnya, individu yang menimbulkan dan menyebarkan pembohongan dalam isu tersebut wajar disiasat dan sekiranya wujud kes, dituduh di mahkamah.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak terdapat kebebasan mutlak dalam mana-mana masyarakat pada bila-bila masa dalam sejarah.

Kebebasan bersuara jelasnya bukan ruang untuk mana-mana pihak menyebar pembohongan.

"Kebebasan untuk bercakap dan bersuara termaktub di bawah Perlembagaan serta jaminan hak di bawah undang-undang untuk tidak menapis internet seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak membenarkan seseorang untuk menyebarkan pembohongan,"  katanya menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut Thomas berkata,  fenomena pembohongan yang semakin menjadi-jadi akibat ketaksuban masyarakat mengaitkan sentimen perkauman dan agama ke dalam setiap isu kehidupan awam boleh membahayakan keharmonian masyarakat majmuk.

Sehubungan itu, pihaknya jelas Peguam Negara itu sedang bekerjasama erat dengan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menghalang penyebaran kenyataan palsu.

Penyebar fitnah tambahnya lagi boleh  dituduh di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang menyentuh kenyataan berhubung khianat awam.

Katanya, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ialah salah satu pilihan, bagaimanapun elemen-elemen yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan sebelum seseorang itu disabitkan mahkamah di bawah peruntukan tersebut tidak menepati kategori kesalahan yang telah dilakukan mutakhir ini.

“Jelas di sini bahawa Seksyen 233 wajar dipertimbangkan oleh pihak Parlimen bagi tujuan pindaan dalam masa terdekat,” katanya.

Post a comment

0 Comments