Kementerian cadang perluas TVET ke Sekolah Tahfiz


KERAJAAN bercadang memperluas pelaksanaan Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal (TVET) ke institusi pendidik agama.

Timbalan Menteri Sumber Manusia (mahfuz Omar) berkata, pihak kementerian berminat menjalin kerjasama  dengan sekolah atau institusi tahfiz dan Jabatan Agama Islam di setiap negeri bagi memperluaskan pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) di bawah Program Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal-Tahfiz (TVET-Tahfiz).

Tambahnya, usaha itu bertujuan membuka ruang kepada pelajar tahfiz untuk mengikuti latihan kemahiran di institusi di bawah kementerian, sekali gus mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Langkah ini jelasnya agar mereka mempunyai peluang lebih luas dalam sektor pekerjaan kemahiran tinggi mengikut keperluan industri ke arah menuju Revolusi 4.0.

“Kita sedang berbincang dengan semua institusi tahfiz untuk melihat apa peluang yang boleh membantu mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik melalui Program SLDN, khususnya melibatkan pelbagai industri dalam negara,” katanya dalam satu program di Bukit Katil.

Sementara itu kata Mahfuz, syarikat Composites Technology Research Malaysia (CTRM) merupakan salah satu pihak industri yang menjalin kerjasama dengan ILP Bukit Katil menerusi tawaran kursus Juruteknik Perantisan Aeroangkasa.

Menerusi kerjasama itu jelasnya, 11 pelajar tahfiz atau huffaz dari pelbagai institusi tahfiz mengikuti kursus sepenuh masa selama 10 bulan bermula 3 Feb lepas, yang menyaksikan mereka terlibat akan mengikuti latihan 3 bulan di ILP Bukit Katil, dan 7 bulan di CTRM.

"Mereka yang berjaya akan dianugerahkan SKM Tahap Dua bidang Pembuatan Komposit dan seterusnya ditawarkan bekerja di syarikat itu,” katanya.

Post a comment

0 Comments