Kerajaan Sabah lulus pelan lindungi gajah


KERAJAAN Negeri Sabah meluluskan Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 bagi memastikan hidupan liar itu tidak pupus di bumi Sabah.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Dr Jamili Nais dalam kenyataan menjelaskan, pelan tindakan 10 tahun itu diluluskan pada mesyuarat Kabinet negeri,

Ketika ini dianggarkan terdapat antara 1,500-2,000 ekor gajah di negeri itu.

Tambahnya, pelan itu mengandung empat objektif utama iaitu meningkatkan perlindungan gajah dan menghentikan pembunuhan gajah, meningkatkan penyambungan habitat dan kebolehtelapan, memastikan amalan baik dalam pengurusan, konservasi ex-situ gajah, penyelidikan dan pemantauan serta meramal trend populasi gajah.

“Kerajaan Sabah juga bersetuju secara prinsip untuk memperuntukkan RM20 juta untuk tempoh 10 tahun pelaksanaan Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah ini,” katanya mengenai pelan itu yang dirumuskan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan rakan-rakan pemuliharaan.

Susulan itu difahamkan, kerajaan negeri akan penubuhan sebuah Unit Penguasaan di bawah Jabatan Hidupan Liar yang memberi tumpuan kepada perlindungan hidupan liar di rizab hutan.

Pelan itu juga bakal menilai konflik manusia dan hidupan liar yang menjadi masalah utama pemuliharaan gajah di negeri ini disebabkan pertindihan habitat semula jadi gajah dengan manusia, terutama dengan pembukaan ladang dan kebun kelapa sawit.

“Masalah kematian gajah akibat pertindihan habitat gajah dengan petempatan manusia turut berlaku hampir di semua rantau taburan gajah, misalnya di India, Sri Lanka dan Kenya. Sabah masih di tahap yang baik kerana tidak seperti tempat-tempat tersebut, tidak ada atau jarang-jarang sekali berlaku korban jiwa manusia akibat serangan gajah.

Dalam pada itu, Jamili menjelaskan berdasarkan angka populasi semasa gajah di negeri ini, habitat dan makanan yang ada, ditambah dengan pelbagai usaha perlindungan dan pemuliharaan termasuk Pelan Tindakan 10 tahun itu, maka dijangkakan gajah tidak akan pupus di bumi Sabah.
 

Post a comment

0 Comments