Kes 1MDB: Najib didakwa u-turn lagi


BEKAS perdana menteri, Najib Razak yang kini berdepan kes penyelewengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dianggap tidak konsisten dalam kenyataannya.

Terbaharu, dalam pemeriksaan semula oleh peguam belanya, Harvinderjit Singh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, Najib sekali lagi membuat pusingan U.

Bekas Presiden Umno itu yang sebelum ini mengakui kerap berhubung dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berkenaan pengurusan akaun peribadi beliau menafikannya.

Memetik laporan Sinar, Najib mendakwa hanya berhubung dengan Jho Low berkaitan dengan sumbangan derma oleh Arab Saudi ke dalam akaunnya.

Sedangkan pada 9 Januari lalu, Ahli Parlimen Pekan berkenaan mengaku di Mahkamah Tinggi bahawa beliau beberapa kali ada berhubung dengan Jho Low berkenaan operasi akaun peribadi Ambank beliau.

Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram ketika itu, Najib mengakui bahawa Jho Low pada masa-masa tertentu berhubung dengannya untuk memastikan transaksi kad kredit dan ceknya dapat ditunaikan.

Harvinderjit: Dalam proses perbicaraan tahun lalu, bekas pengurus perhubungan Ambank, Joanna Yu menyatakan hubungan dengan Jho Low dalam mengurus akaun anda...Jho Low menerusi log perbualan dengan Joanna mengambarkan bahawa dia telah menerima teks daripada anda berhubung kad kredit (perbelanjaan). Adakah anda berhubung dengan Jho Low mengenai pengurusan akaun anda ?

Najib: Tidak

Harvinderjit: Mengapa Joanna berurusan dengan Jho Low walaupun Jho Low tidak mempunyai kuasa untuk mengurus akaun anda?

Najib: Anda harus bertanya hal ini dengan Joanna.

Najib berkata kebanyakan masa beliau berurusan dengan bekas ketua setiausaha sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias berhubung akaun banknya. Beliau turut berkata Azlin mungkin berhubung dengan Jho Low mengenai akaun banknya.

Sebagai rekod, Najib kini berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Post a comment

0 Comments