K'jaan Sabah usir 587 pendatang asing


KERAJAAN negeri Sabah mengusir 587 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negeri itu pada Rabu.

Menurut Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Sh Sitti Seleha Habib Yussof berkata, semua PATI berkenaan merupakan warganegara Filipina.

“Mereka diusir menggunakan laluan laut iaitu melalui Pelabuhan Sandakan.

“Seramai 587 orang PATI dihantar dalam siri pengusiran kesebelas ini.

“Untuk tahun ini sahaja, seramai 2,915 orang PATI sudah dihantar pulang ke negara asal mereka selepas didapati tinggal di Sabah secara haram,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

Tambahnya, kesemua PATI terbabit dihantar terus ke Zamboanga, Filipina.

Sementara itu tegas Sitti, pihak MKN akan mempergiatkan lagi usaha pengusiran dalam melihat Sabah bebas daripada kehadiran PATI.

Tterdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman memberi amaran untuk memburu dalang membawa PATI ke negeri itu.

Katanya, pesisir pantai di timur Sabah yang luas sepanjang 1,700 kilometer, menyebabkan wujudnya laluan tikus, yang digunakan dalang dari dalam negara, membawa masuk PATI.

"Saya memberi amaran, akan memburu mereka dan jika didapati memberi kerjasama kepada PATI, akan diambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang yang ada," katanya ketika menyertai operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Sabah awal bulan lalu.

Post a comment

0 Comments