Koronavirus: Agong titah jangan sebar berita palsu


YANG
di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kagum atas pendekatan segera kerajaan dalam mengelakkan penularan wabak Koronavirus.

Titah baginda kerajaan bagaimanapun perlu mengambil langkah pencegahan berterusan dan tidak sesekali berkompromi dalam isu itu bagi melibatkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Dalam membendung penularan virus itu, Seri Paduka Baginda juga mengingatkan rakyat agar berganding bahu dengan kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

“Rakyat juga adalah diminta untuk tidak menimbulkan suasana cemas menerusi penularan berita yang tidak benar,” titah baginda pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Istana Melawati, Putrajaya, hari ini.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah mengajak rakyat bersama menyokong usaha-usaha yang telah dan bakal diambil kerajaan dalam menangani wabak itu.

Baginda turut menzahirkan keyakinan semua isu berkaitan kesejahteraan rakyat dan negara dapat ditangani jika rakyat dan kerajaan bekerjasama.

“Ibarat pepatah Melayu lama ‘berat sama dipukul, ringan sama dijinjing,’ beta yakin semua isu berhubung kesejahteraan rakyat dan negara akan dapat ditangani menerusi gandingan kerjasama antara kerajaan dengan rakyat,” titah Seri Paduka lagi.

Post a comment

0 Comments