Koronavirus: kanak-kanak dirawat di M'sia pulih


PETUGAS wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dilapor berjaya merawat seorang kanak-kanak warganegara China yang sebelum ini dilapor positif koronavirus (2019-nCoV)

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil ujian pengesanan ulangan 2019-nCoV yang dijalankan ke atas kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun yang sebelum ini menerima rawatan menunjukkan ia bebas koronavirus.

Difahamkan, sebanyak 2 kali ujian telah dilakukan dan didapati ia negatif.

“Beliau kini berada dalam keadaan sihat dan sudah dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan.

Kanak-kanak tersebut dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sultanah Maliha pada 29 Jan lalu, selepas didapati positif jangkitan koronavirus.

Kes kanak-kanak itu merupakan 1 daripada 10 kes yang didapati positif virus itu di negara ini dengan 9 daripadanya merupakan warganegara China, manakala seorang lagi warga tempatan.

Noor Hisham berkata, keputusan positif itu sekaligus menunjukkan jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya. sebagaimana kes lain yang dilaporkan di China.

“Tanggapan ramai bahawa penyakit ini pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak tepat,” jelasnya lagi.

Susulan itu, Noor Hisham  mewakili Kementerian Kesihatan mengucapkan tahniah kepada Hospital Sultanah Maliha yang memberikan rawatan dan pemantauan rapi sehingga kanak-kanak ini sihat dan dibenarkan pulang.

Post a comment

0 Comments