Koronavirus: Pengarah WHO puji Malaysia


KEPAKARAN dan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani wabak koronavirus mendapat pujian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pujian itu dilontarkan sendiri Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi perkongsian di akaun Twitter rasminya semalam.

Jelas Tedros, pihaknya menghargai usaha Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan pasukannya yang bekerjasama dengan WHO dalam memerangi wabak ini.

"Saya bercakap dengan Dr Dzulkefly dan pasukannya tentang cabaran dan progres memerangi COVID-19.

"Saya amat menghargai kerjasama Malaysia dan Dr Dzulkefly serta negara serantau termasuk komitmen pihaknya menjalakan penyelidikan bagi mengakhiri wabak ini," katanya melalui perkongsian itu.

Sementara itu, Dr Dzulkefly turut berterima kasih kepada Tedros atas kerjasama yang dijalankan.

Tambahnya, Malaysia akan trus memberikan komitmen sebagai tanda solidariti memerangi wabak yang telah membunuh lebih 2000 orang mangsa itu.

Setakat hari ini, Malaysia berjaya mencatatkan 15 kes yang pulih sepenuhnya dengan dua kes baharu pulih dicatatkan pada Rabu.

Manakala tujuh lagi kes masih dirawat di beberapa hospital kerajaan.

Dr Dzulkefly dalam satu sidang media pada Rabu memaklumkan, kejayaan pihaknya dalam mengurangkan bilangan pesakit positif wabak itu dibantu dengan kelengkapan makmal serta pakar dari KKM.

Bagaimanapun, langkah berjaga-jaga sentiasa dititik-beratkan terutamanya apabila merujuk keadaan semasa COVID-19 di Singapura yang kini memasuki peringkat jingga.

Post a comment

0 Comments