Koronavirus: Saringan ketat buat pasukan lumba LTdL



PENGANJUR perlumbaan berprestij, Petronas-Le Tour de Langkawi 2020 (LTdL) Human Voyage (HV) akan menjalinkan kerjasama rapat bersama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengekang penularan wabak koronavirus.

Ketua Pegawai Operasinya, Shahaizereen A Hamid berkata, saringan terhadap pasukan akan diadakan secara ketat bagi memastikan pelumba, pegawai mahupun petugas yang tiba dari China bebas daripada jangkitan itu.

“Pasukan dan petugas media yang tiba dari China akan menjalani pemeriksaan rapi dan dikuarantin oleh KKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar.

“Kami akan memastikan LTdL kali berlangsung tanpa sebarang kebimbangan khususnya membabitkan isu kesihatan dan keselamatan,” katanya pada satu sidang media sebelum ini.

Terdahulu, satu pasukan berpangkalan di China iaitu Hengxiang Cycling telah mengesahkan menarik diri daripada menyertai perlumbaan kali ini susulan koronavirus.

Mengulas mengenai penyertaan pasukan bagi edisi ke-25, Shahaizereen berkata, pihaknya sudah menerima pengesahan daripada 22 pasukan berstatus pasukan jelajah dunia selain lima pasukan profesional benua dan selebihnya pasukan benua dan pasukan kebangsaan.

Petronas LTdL 2020 akan membuka tirainya dengan majlis pengenalan rasmi pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari sebelum Peringkat 1 dimulakan di Padang Merdeka di Kuching, Sarawak pada 7 Februari.

Perlumbaan dijangka berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan negeri.

Post a comment

0 Comments