Kulit geduk dicuri kerana kepercayaan tahyul


KARIAH Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuroh, Tepoh, Kuala Nerus kecewa apabila mendapati geduk yang digunakan di masjid itu dirosakkan kerana perbuatan khianat.

Memetik laporan Metro, kulit geduk diperbuat daripada kulit kerbau itu rosak sejak kelmarin, dipercayai dicuri untuk kegiatan syirik.

Seorang jemaah, Abdullah Embong, 60 yang dipetik laporan portal itu berkata, geduk itu tidak pernah mengalami kerosakan walaupun telah digunakan sejak turun temurun dan kini berusia lebih 100 tahun.

Tegasnya, kariah bukan sahaja kecewa kerana alatan tradisional itu dirosakkan, malah ia difahamkan digunakan pihak yang percaya ia mujarab sebagai pelaris perniagaan dan tangkal.

“Ia sangat mengecewakan kami dan sepatutnya alat tradisional ini tidak dirosakkan.

“Saya juga sangat terkilan kerana di zaman moden ini dan ilmu agama tersebar meluas, masih ada yang percaya terhadap perkara karut dan tahyul,” katanya dipetik.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuroh, Yusof Mohamad, 48, berkata, proses penukaran kulit geduk itu akan dilakukan pada masa terdekat.

“Geduk itu memang berusia lebih 100 tahun tetapi kulit geduk daripada kulit kerbau yang digunakan sekarang adalah kulit kedua menggantikan kulit asal lebih 40 tahun lalu.

“Penukarannya kerana kulit lama sudah rosak tapi bukannya rosak kerana dicuri seperti ini,” tambahnya.

Post a comment

0 Comments