Kumpulan Melayu tolak PPSMI


SEBUAH
kumpulan Melayu dan kesatuan guru mempertikaikan dapatan tinjauan yang mengatakan kebanyakan responden menyokong dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dihidupkan semula.

Jurucakap Majlis Perundingan Melayu, Dr. Awang Sariyan yang dipetik laporan FMT berkata kajian dijalankan beliau bersama Institut Alam dan Tamadun Melayu pada April tahun lepas mendapati majoriti besar responden menolak program itu.

Beliau berkata 78.5% responden daripada 2,800 orang berpendirian 2 mata pelajaran itu harus diajar dalam bahasa Melayu.

Awang menegaskan banyak kajian lain, termasuk oleh Kementerian Pendidikan, menunjukkan kelemahan PPSMI.

“PPSMI disahkan program yang salah yang gagal dari segi dasar, matlamat, dan pelaksanaan,” katanya kepada FMT.

“Kajian empirikal membuktikan kemahiran bahasa Inggeris tidak bertambah baik, dan sebenarnya prestasi pelajar dalam sains dan matemarik juga menurun.”

Jumaat lalu, Emir Research mengumumkan kebanyakan responden menyokong cadangan menghidupkan semula PPSMI, berdasarkan dapatan yang dijalankan pada November.

Sementara itu, Awang yang juga penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, berkata Malaysia wajar mencontohi Jerman, China, Perancis, Korea Selatan dan Jepun di mana sains dan matematik diajar dalam bahasa sendiri.

“Negara-negara ini tidak ketepikan bahasa Inggeris, bahkan mereka tekankan kepentingannya, tetapi tidaklah sehingga mengutamakan bahasa asing mengatasi bahasa sendiri,” tambahnya.
Aminuddin Awang, presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Aminuddin Awang berkata banyak kajian lain menunjukkan PPSMI memberi kesan negatif pada pelajar, terutama di kawasan luar bandar.

Sebelum ini, Majlis Profesor Negara (MPN) turut cadangan memperkenal semula PPSMI.

Pengerusi MPN Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berpendapat PPSMI yang dilaksanakan sebelum ini di sekolah-sekolah telah terbukti gagal.

Post a comment

0 Comments