Kurang kadar tol langkah berperingkat tunai manifesto


PENGGUNA lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd (PLUS)  telah menikmati pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bermula malam tadi.

Disebalik kritikan pembangkang yang mendakwa kononnya ia tidak mencerminkan janji dibuat Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini, rata-rata pengguna menyambut baik langkah kerajaan itu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penurunan kadar kutipan itu sebagai sebahagian langkah secara berperingkat dilaksanakan kerajaan HARAPAN bagi mencapai matlamat akhir untuk menghapuskan tol.

"Kalau kita lihat apa yang kita sebut bahawa ini adalah langkah secara berperingkat untuk matlamat akhirnya.

"Itu ialah yang dinyatakan dalam janji manifesto HARAPAN. Tapi ini tentu akan makan masa kerana kita kena tunggu ekonomi pulih," katanya.

Lim sebelumnya ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang.

Bagaimanapun, jelas bekas Ketua Negeri Pulau Pinang itu lagi,  penghapusan sepenuhnya tol akan mengambil masa bergantung kepada
keadaan ekonomi negara.

HARAPAN dalam manifesto lalu menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Bagi melunaskan janji itu, Kerajaan mengumumkan diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

"Hari ini kita terus jalankan usaha untuk mengurangkan kos sara hidup dengan pengurangan tol di Lebuhraya PLUS.

"Kita akan buat program-program lain dan pada masa yang sama kita pastikan pelaburan boleh masuk dengan cepat. Ini kita yakin dapat memastikan kehidupan rakyat dalam pembangunan ekonomi boleh terus dikekalkan," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments