Lagi tapir jadi mangsa langgar lari



SEEKOR
tapir ditemukan mati di Jalan Mersing-Jemaluang berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing pada Sabtu.

Tapir jantan itu  dipercayai akibat dilanggar kenderaan, menjadikan ia kejadian direkodkan kelima sejak awal tahun ini.

Pengarah Jabatan Perhilitan Johor Salman Saaban berkata haiwan dianggarkan berusia enam tahun dan seberat 200 kilogram itu, ditemui orang awam kira-kira jam 9.45 malam yang kemudiannya memaklumkan kepada Perhilitan.

"Empat orang kakitangan Perhilitan Daerah Mersing digegaskan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kira-kira pukul 10.00 malam, didapati memang benar seekor tapir jantan telah mati disyaki dilanggar. Soal siasat dengan pengadu mengatakan tapir dipercayai dilanggar sebuah van.

"Pemeriksaan pada tapir turut mendapati terdapat kecederaan di bahagian kepala, badan dan kesan seretan," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Difahamkan, bangkai tapir itu ditanam berhampiran kawasan pejabat perhilitan di Mersing.

Sebagai rekod, Pada 4 Febuari lepas, seekor tapir betina ditemui mati di Jalan Sekakap-Mersing.

"Siasatan awal mendapati gangguan habitat akibat aktiviti pertanian di kawasan berkenaan telah menyebabkan tapir-tapir ini keluar dari habitatnya," kata Salman lagi.

Post a comment

0 Comments