Lelaki maut dirempuh keretapi ketika lintas landasan



LELAKI ditemui maut dipercayai dilanggar kereta api di landasan komuter Pantai Dalam di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin Hilmi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.12 tengah hari semalam.

Tambahnya, saksi di tempat kejadian memaklumkan bahawa mangsa keluar dari pintu belakang sebuah kedai di tepi landasan tersebut untuk ke sebuah bengkel berhampiran dengan melintasi landasan tersebut.

“Hasil siasatan awal serta keterangan daripada anak perempuannya mendapati mangsa adalah warga tempatan berusia 58 tahun yang tinggal di Kampung Pandan dan sering ke Pantai Dalam untuk menghantar surat,” katanya dalam kenyataan.

Zairulnizam berkata, pegawai perubatan yang hadir melakukan pemeriksaan mengesahkan kematian mangsa sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati tiada sebarang unsur jenayah di lokasi serta pada badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut.

Post a comment

0 Comments