Lelaki terajang isteri kerana mahu mabuk ketum


SEORANG wanita cedera dikasari setelah menghalang suaminya keluar dipercayai untuk minum ketum.

Dalam kejadian di Kuala Terengganu itu, lelaki tersebut didakwa menerajang  memulas tangan isteri hingga terseliuh selepas berang hasratnya itu dihalang.

Memetik laporan Sinar, wanita itu sebelumnya menegur dan bertanya ke mana suaminya itu hendak pergi selepas melihat suspek bersiap-siap hendak keluar rumah.

Menurut sumber, suspek memberitahu hendak keluar minum air ketum.

Susulan jawapan itu, mangsa berusia 30 tahun cuba menghalang dengan menyuruh menjaga anak kerana dia hendak keluar ke pasar membeli barang dapur.

"Bagaimanapun, suspek berkeras untuk keluar juga dan bertindak menutup pintu pagar rumah dengan batu supaya mangsa tidak keluar ke pasar.

"Suspek juga mengambil anak mereka yang berusia enam bulan dan diletakkan di dalam kereta sebelum menyuruh mangsa membawanya bersama sekiranya masih berdegil hendak ke pasar," kata laporan itu yang memetik sumber.

Difahamkan, mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek mengambil batu yang diletakkan untuk menutup pagar rumah lalu cuba membaling ke arah motosikal suaminya.

"Tindakan mangsa itu menyebabkan suspek naik angin," kata sumber lagi.

Menurutnya, mangsa turut mendakwa kejadian itu bukan kali pertama, malah sudah kerap berlaku sebelum ini.

Susulan itu, wanita itu mengambil keputusan membuat laporan polis kerana risau akan keselamatan diri serta anak pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos  mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu.

"Suspek ditahan di tepi jalan Sultan Oma kira-kira jam 4.45 petang, Selasa lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan selain Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya Razmi.

Post a comment

0 Comments