Lembaga Disiplin beri amaran kepada Zuraida


NAIB
Presiden Parti Keadilan rakyat (KEADILAN), Zuraida Kamaruddin diberi amaran supaya menepati janji untuk hadir sesi pendengaran kes disiplinnya pada 25 Februari ini.

Pengerusi lembaga Disiplin KEADILAN, Datuk Ahmad Kasim menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berlembut lagi dengan Ahli Parlimen Ampang itu jika beliau gagal hadir pada tarikh yang beliau tetapkan sendiri.

“Kita fikir juga beliau sibuk dengan tugas sebagai menteri, tetapi beliau kena pastikan datang pada 25 Februari ini. Itu tarikh yang beliau minta.

“Kita beri amaran beliau kena tepati janji. Sebelum ini sudah tiga kali beliau minta tangguh.

"Selepas ini kita tidak mahu tangguh lagi. Kes disiplin beliau ini berat,” kata dipetik laporan BH.

Semalam, Zuraida menegaskan beliau hanya akan hadir pada 25 Februari ini untuk sesi pendengaran oleh Lembaga Disiplin parti.

Sebelum itu, Lembaga Disiplin memberi tempoh kepada Zuraida untuk hadir sesi pendengaran sebelum 20 Februari ini namun Zuraida mendakwa persetujuan sudah dicapai yang beliau akan hadir pada 25 Februari nanti.

Zuraida difahamkan turut meminta supaya prosiding terhadap dirinya ditangguhkan seketika berikutan beliau menerima dua surat berkait tindakan undang-undang sebelum ini.

Sebagai rekod, Zuraida sedang bercuti daripada semua jawatannya dalam parti sehingga Lembaga Disiplin selesai menjalankan siasatan berhubung ucapannya yang mengkritik pimpinan secara terbuka.
 

Post a comment

0 Comments