LTdL 2020 : Sprinter NTT Pro beri amaran awal


PAKAR pecut, Max Walscheid NTT Pro Cycling meraih kemenangan pada acara pemanas badan, PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 di Kota Kinabalu siang tadi.

Kemenangan Walscheid itu merupakan amaran awal dari pasukan berstatus WorldTour itu pada kejuaraan musim ini.

Pelumba berusia 26 tahun itu berkata, kemenangan hari ini menyuntik semangat untuknya untuk mengekalkan momentum terutama menjelang Peringkat 1 perlumbaan yang akan dilangsungkan di Kuching, Sarawak, esok.

"Saya fikir, kami sentiasa berada dalam posisi yang baik hari ini. Kami mempunyai dua daripada pelumba terkuat pasukan dalam kelompok pemecah jadi kami tidak ada apa yang perlu dibimbangkan."

"Satu perasaan yang bagus untuk memulakan musim dengan kemenangan. Kami boleh memastikan yang kami berada dalam keadaan baik. Kami akan cuba meneruskan kejayaan seperti ini, esok.” katanya sebaik tamat perlumbaan pembukaan sepanjang 80 kilometer (km) yang berakhir di Padang Merdeka tadi.

Sebagai rekod, Walscheid sebelum ini pernah menyertai kejuaraan peringkat tour bersama pasukan Giant Sunweb.

Sementara itu, pelumba tempatan mewakili pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh muncul naib juara hari ini.

Harrif membuktikan kemampuan anak tempatan apabila berada di hadapan Blake Quick (St George Cycling Team) berada di tempat ketiga pada perlumbaan yang disertai 116 pelumba itu.

Esok perlumbaan Peringkat 1 LTdL di Kuching akan membabitkan laluan sejauh 96.2km bermula dan berakhir di Padang Merdeka.

Manakala  Terengganu menjadi lokasi untuk Peringkat 3 pada Ahad membabitkan laluan dari Kuala Terengganu ke Kerteh dengan jarak keseluruhan, 175.5km.

Edisi Jubli Perak kali ini mempunyai lapan peringkat keseluruhan, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan negeri termasuk Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Post a comment

0 Comments