LTdl 2020: TSC tidak mahu merasa terlalu selesa


PASUKAN benua Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC) enggan merasa selesa walaupun pelumba muda negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff diramal mampu mempertahankan jersi merah selaku Raja Bukit pada kejuaraan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.

Pengurus TSC Ahmad Sayuti Mohd Zahit yang dipetik laporan Sinar menjelaskan, walaupun pelumba berusia 22 tahun itu masih mengungguli kedudukan jersi itu dengan kutipan 29 mata, namun peluang pelumba pasukan lain merampas jersi berkenaan masih terbuka.

"Untuk jersi merah, kita boleh katakan agak selamat memandangkan perlumbaan peringkat ketujuh, esok tiada laluan berbukit, jadi kita perlu bersedia untuk peringkat kelapan di Langkawi yang melibatkan dua zon pendakian.

"Kita tak nak terlalu yakin (pertahankan jersi merah) kerana dalam sukan berbasikal, apa-apa sahaja boleh berlaku. Kita akan berusaha keras," katanya sebaik berakhir saingan peringkat keenam semalam.

Tambah Ahmad Sayuti, pasukannya juga tidak memandang rendah keupayaan pasukan lain bagi merebut jersi kuning (selaku pendahulu keseluruhan) yang kini milik seorang lagi pelumba pasukan, Danilo Celano dari Itali.

Selepas enam peringkat saingan, Celano berada 26 saat dihadapan pesaing terdekat Yevgeniy Fedorov dari pasukan Vino-Astana Motors.

Sementara itu, Muhamad Nur Aiman mengulangi pendiriannya bahawa sasaran jersi merah masih menjadi keutamaannya pada kejuaran edisi kali ini.

Dengan tiada zon pendakian pada perlumbaan esok, Nur Aiman berkata, beliau bakal membantu pasukannya mempertahankan jersi kuning.

"Saya akan berusaha keras untuk menambah kutipan mata pada peringkat terakhir yang melibatkan dua zon pendakian.

"Saya tidak mahu terlalu yakin mengenai peluang pasukan kami mempertahankan jersi merah dan kuning, tapi kami akan cuba yang terbaik," jelas Muhamad Nur Aiman yang meraih tempat kedua keseluruhan pada Jelajah Berbasikal Cambodia Bay pada awal bulan lalu.

Peringkat ketujuh LTdL 2020, esok melibatkan jarak sejauh 130.4km dari Bagan ke Alor Setar dengan tiga zon pecutan di Sungai Petani, Gurun dan Pendang.


BACA LAGI:
LTdL-25 Stage 6: Nakane menang bergaya

Post a comment

0 Comments