Mahdzir tak ambil rasuah, dakwa hanya ikut arahan Najib


BEKAS
Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid mendakwa beliau tidak pernah meminta atau pun menerima rasuah daripada Jepak Holdings bagi meluluskan projek solar di Sarawak.

Pengakuan itu dibuat ketika membaca keterangan bertulisnya di  mahkamah semalam.

Sebaliknya Mahdzir memaklumkan beliau  menganugerahkan kontrak projek tersebut kepada syarikat itu selepas menerima arahan daripada bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Saya tidak pernah menerima atau meminta wang rasuah daripada Saidi berkenaan urusan permohonan projek solar hibrid. Saya tidak mempunyai keperluan mendesak untuk meminta atau meneirma wang Saidi.

“Saya hanya menuruti arahan Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan projek solar hibrid dan memberikannya kepada Jepak,” katanya di hadapan Hakim, Mohamed Zaini Mazlan.

Malah menurutnya, wujud desakan daripada 'pasukan Saidi' yang turut menggesannya untuk mempercepatkan urusan penganugerahan kontrak kepada syarikat itu.

Mahdzir sebelum ini merujuk pasukan Saidi sebagai kumpulan disertai Rayyan Radzwill Abdullah, isteri Najib, Rosmah Mansor; bekas pembantu khas Najib Razak, Datuk Rizal Mansor dan Aazmey.
 
“Saya juga mendapat desakan daripada ‘team Saidi’ berkenaan permohonan solar hibrid,” tambahnya dipetik satu laporan  media.

Ekoran itu Mahdzir mendedahkan beliau telah dihubungi oleh Rizal Mansor yang merupakan pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor meminta agar memudahkan perihal kontrak syarikat tersebut atas hujah perkara ini dalam pengetahuan isteri bekas Perdana Menteri pada masa itu.

“Rizal kemudian memberitahu saya supaya tidak menyukarkan keadaan, dan projek itu adalah dalam pengetahuan “mem”,” katanya lagi pada perbicaraan hari ketiga di sini.

Pembantu Rosmah juga pernah meminta Mahadzir  menulis surat agar Najib yang pada masa itu Perdana Menteri dalam masa yang sama Menteri Kewangan memberi pengecualian syarat yang perlu dipatuhi Jepak Holdings, khususnya  dalam kontrak.

Najib, ujarnya, telah menyatakan persetujuan untuk memberikan pengecualian kepada Jepak dalam satu minit mesyuarat.

Mahdzir tampil sebagai saksi dalam kes pertuduhan keatas Rosmah yang dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Sebelum ini, seorang pemandu, Shamsul Rizal Sharbini mendakwa diarahkan Saidi untuk memasukkan wang kedalam dua buah beg sebelum ia dihantar ke kediaman Rosmah.  

Post a comment

0 Comments