Mahu bawa pulang rangka manusia purba Gua Niah


KERAJAAN
Sarawak bercadang membawa pulang lebih 100 rangka tulang manusia purba berusia kira-kira 40,000 tahun ditemukan di Gua Niah yang kini disimpan di Florida, Amerika Syarikat.

Menteri Pelancongan negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman beliau akan ke Universiti tempat tulang itu disimpan bagi menguruskan penghantaran pulang penemuan arkeologi itu.

"Diharapkan ia (tulang manusia purba terbabit) akan sampai di sini (Sarawak) dalam bulan Februari atau Mac ini," katanya semasa berucap ketika merasmikan satu program anjuran Malaysia Hindu Sangam Sarawak di Tebingan Kuching minggu lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, tulang manusia purba terbabit ditemukan di Gua Niah sewaktu Kurator Muzium Sarawak yang pertama, Tom Harisson  melakukan kerja penggalian di gua terbabit di antara 1957 dengan 1967.

Lebih 200 tulang rangka manusia purba ditemukan di pintu barat Gua Niah dan daripada jumlah itu sebanyak 122 tulang terbabit dibawa menggunakan kapal ke Universiti Nevada di Amerika Syarikat bagi dijadikan bahan penyelidikan.

Sarawak ketika itu tiada universiti bagi melakukan penyelidikan lanjut mengenai penemuan itu.

Abdul Karim berkata pihak Universiti Nevada kemudiannya menghantar tulang terbabit ke Universiti Florida yang turut berminat melakukan penyelidikan ke atas tulang berkenaan dan kemudian terus menyimpannya selepas selesai penyelidikan itu.

"Nasib baik apabila kami memeriksa arkib kami, tulang-tulang terbabit didapati hanya dipinjamkan (kepada universiti di Amerika Syarikat), jadi kami menulis kepada mereka yang kami mahukan tulang tersebut dipulangkan semula,” katanya.

Beliau berkata lebih 100 tulang manusia purba itu dijangka akan dipamerkan di Kompleks Muzium Sarawak yang baru siap dibina dan sedang menjalani kerja ubah suai serta disasarkan akan dibuka hujung tahun ini.

Post a comment

0 Comments