Mantan pemimpin AMK mahu tindakan terhadap Zuraida


HAMPIR
90 bekas pemimpin Pemuda Angkatan Muda KEADILAH (AMK) seluruh negara menyatakan pendirian tentang isu disiplin membabitkan Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin.

Melalui satu kenyataan bersama diketuai bekas ketua setiausaha pengelola dan ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Fariz Musa, kumpulan itu mendesak lembaga disiplin parti itu bertindak “tanpa takut dan berpihak”.

Tegas mereka, parti seharusnya bertindak tegas terhadap mana-mana individu termasuk pemimpin yang telah melanggar peraturan parti.

“Cukup-cukuplah tolak ansur, budi bicara dan berhikmah. Parti ini telah melalui jalan perjuangan yang penuh ranjau dan berliku.

“Ujian lebih lebih besar apabila diberi kuasa dan pangkat amanah oleh rakyat. Ketika inilah Lembaga Disiplin perlu tegas tanpa ragu bagi melindungi parti,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Lembaga Disiplin parti itu telah memulakan siasatan ke atas pelbagai aduan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti itu, termasuk Zuraida.

Ia dipercayai berkait insiden ketika dan selepas Kongres Nasional KEADILAN di Melaka Disember tahun lepas.

Zuraida dalam satu kenyataan pada Disember lalu berkata, dirinya dan Timbalan presiden Parti itu, Mohamed Azmin Ali bersedia dipecat dari parti, kenyataan Zuraida itu turut disiar media.

Dalam pada itu, kumpulan bekas pemimpin Pemuda KEADILAN itu turut menggesa Lembaga Displin dan kepimpinan KEADILAN tidak tunduk dengan mana-mana ugutan dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Mereka juga menyatakan dukungan, sokongan dan kepercayaan penuh kepada Anwar Ibrahim selaku presiden parti dalam menangani kerenah segelintir pimpinan melibatkan isu disiplin dan pelanggaran etika kepimpinan, khususnya oleh Zuraida.

“Kami ingin menyatakan bahawa sepanjang keberadaan kami bersama parti reformasi ini, tak sedikit pemimpin pelbagai peringkat dan pangkat yang khianat dan keluar parti, namun ia masih kekal utuh sehingga kini,' kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan tersebut turut ditandatangani  bekas timbalan ketua AMK Khairul Anuar AHmad Zainuddin (2010-2013), bekas timbalan ketua penerangan (2014-2018) dan bekas ketua AMK Kelantan (2010-2014), Mohammad Azihan Che Seman dan bekas naib ketua AMK (2004-2007), Sharifah Shahidah.

Post a comment

0 Comments