Maut tersepit tangki nitrogen


SEORANG
lelaki maut tersepit dalam kereta jenis Proton Iswara  dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki membawa cecair nitrogen siang tadi.

Dalam kemalangan di Jalan Kuantan - Segamat berdekatan simpang Jalan Bahau, Muadzam Shah pagi tadi, Berahim Hasan, 41, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Gambar kejadian yang dikongsikan warganet di media sosial menunjukkan tangki nitrogen dibawa lori berkenaan terpisah dari kepala lori dan melintang di tengah jalan.

Turut tercedera adalah 2 orang lain termasuk seorang lagi lelaki yang berada dalam kereta dipandu Berahim.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan memaklumkan, Pusat Gerakan Operasi telah menerima panggilan daripada MERS 999 pada jam 7.45 pagi.

Menurutnya, lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah bersama dua jentera ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

“Ketika tiba di lokasi, didapati tangki bahan kimia yang dibawa lori berkenaan terbalik merintangi jalan tetapi pemandunya terselamat.

“Anggota bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa tetapi lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.

Susulan itu jelasnya, mayat mangsa yang dikeluarkan dari kenderaan tersebut telah  diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Post a comment

0 Comments