Mayat lelaki meninggal di Gua Baso berjaya diturunkan


PASUKAN
penyelamat berjaya membawa turun seorang bekas tentera yang meninggal dunia di Gua Baso, Kuala Balah dekat Kelantan kira-kira jam 8 pagi semalam.

Memetik laporan media, usaha membawa turun mangsa melalui laluan bercerun itu bermula malam sebelumnya dan ia berjaya dilaksana dalam satu operasi yang mengambil masa kira-kira 6 jam.

Terdahulu, lelaki berusia lingkungan 40-an itu bersama empat lagi rakannya masuk ke dalam hutan pada Rabu lalu dan mangsa dilaporkan meninggal dunia pada petang hari yang sama.

Mereka masuk ke dalam kawasan hutan dara tersebut untuk membuat laluan 'jungle trekking' bagi membawa sekumpulan pelajar memasuki hutan berkenaan.

“Operasi menyelamat mangsa mengambil masa memandangkan tiada laluan mudah untuk keluar masuk. Helikopter bomba berpangkalan di Subang juga digunakan tetapi tidak dapat mengesan kedudukannya berikutan keadaan pokok yang rapat dan tebal.

“Berdasarkan keterangan empat rakan yang bersama mangsa, dia seperti diserang sakit jantung. Siasatan juga mendapati kejadian terbabit tiada unsur jenayah," kata Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner, Abdullah Mohamad Piah.

Tambahnya, kawasan hutan masih belum diterokai juga menjadi faktor kelewatan mangsa yang hanya berjaya dibawa turun.

Sementara itu tambah Abdullah, seramai 19 anggota pelbagai agensi terdiri daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahan Awam Malaysia terlibat operasi menyelamatkan kumpulan tersebut selain dibantu penduduk kampung.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Jeli untuk proses bedah siasat.

Post a comment

0 Comments