MB sahkan Negeri Sembilan stabil


DI sebalik kemelut di Putrajaya, Kerajaan Negeri Sembilan yang ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) dilapor masih berfungsi seperti biasa tanpa masalah.

Perkara itu disahkan sendiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, kerajaan negeri mengambil maklum situasi terkini yang berlaku di peringkat Persekutuan, namun ketidaktentuan itu tidak menjejaskan pentadbiran negeri.

Tambah Aminuddin, perkembangan semasa politik negara juga telah dimaklumkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

“Perkembangan politik negara dan negeri telah dimaklumkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir pada 10.30 pagi di Istana Hinggap, Seremban, semalam.

“Alhamdulillah, Tuanku maklum dan yakin bahawa kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan berfungsi seperti biasa tanpa sebarang masalah,” katanya di Seremban.

Sebagai rekod, HARAPAN negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Komposisi di DUN Negeri Sembilan ketika ini ialah 20 kerusi dikuasai PH manakala baki 16 kerusi dimiliki Barisan Nasional (BN).

Kesemua 20 kerusi berkenaan merangkumi 11 kerusi milik DAP, KEADILAN (enam) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (tiga).

16 kerusi adalah milik BN dengan 15 daripadanya dikuasai UMNO manakala MIC, satu.
 

Post a comment

0 Comments