Melaka bincang sumber air mentah bersama N9


KERAJAAN
Negeri Melaka mengambil pelbagai pendekatan bagi memastikan rakyat negeri itu tidak terbeban dengan masalah bekalan air, terutama ketika musim kemarau yang melanda semenanjung  kini.

Ia termasuk mendapatkan bekalan air mentah dari Negeri Sembilan pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, buat masa ini Melaka hanya membeli bekalan air terawat dari Negeri Sembilan dalam kapasiti yang rendah iaitu 11,400 meter padu sehari.

Bagaimanapun, disebabkan jumlah bekalan air terawat yang agak rendah, air tersebut hanya dapat digunakan di sebahagian kawasan (daerah Alor Gajah, Tampin) berdasarkan sistem yang sedia ada.

“Antara langkah yang akan kita usahakan ialah untuk berbincang dengan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) untuk membuat tambahan bekalan air terawat. Jumlahnya nanti akan kita muktamadkan.

“Dalam masa sama, kita juga akan berbincang dengan Negeri Sembilan untuk melihat sumber air mentah mereka kerana kita percaya mereka ada potensi untuk itu.

"Jika mendapat kerjasama daripada Negeri Sembilan, kita akan berusaha mendapatkan sumber air mentah mereka,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Exco kerajaan negeri, di Seri Negeri baru-baru ini.

Empangan- empangan utama Melaka berdepan isu kekurangan air susulan perubahan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berterusan sehingga Mac 2020.

Kerajaan negeri itu sebelum ini turut menyarankan rakyatnya melakukan solat sunat istisqa bagi memohon hujan.

Post a comment

0 Comments