Menantu Zahid: Mahkamah kekal bebaskan Dr Ting


MAHKAMAH Rayuan Putrajaya mengekalkan pembebasan pakar obstetrik dan ginekologi, Dr Ting Teck Chin.

Ia atas pertuduhan menyebabkan kematian menantu bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi Syed Alman Zain Syed Alwi ketika mendapatkan rawatan gigi pada 2016.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Dr Hamid Sultan Abu Backer, Hanipah Farikullah dan Hadhariah Syed Ismail semalam.

Mahkamah sebelumnya mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai.

Menurut Hakim Hamid tindakan mendakwa pengamal perubatan profesional mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan adalah merupakan suatu penyalahgunaan (proses mahkamah).

Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini jelasnya telah secara bijak menghentikan penyalahgunaan itu.

Pada 10 Ogos 2018, Mahkamah Sesyen di Putrajaya melepas dan membebaskan Dr Ting, 40, tanpa memerintahkannya membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Dr Ting di akhir kes pendakwaan.

Sebagai rekod,  Dr Ting didakwa menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, ketika melakukan rawatan gigi, di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Bangsar pada 1 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syed Alman, yang berkahwin dengan Nurulhidayah Ahmad Zahid, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.

Dr Ting turut diwakili peguam Dev Kumaraendran dan Teh See Khoon

Post a comment

0 Comments