Mukhriz bidas cadangan 'undi percaya' oleh PAS


TIMBALAN
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir membidas cadangan Pemimpin PAS yang mahu mengemuka usul menyokong Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Sambil menyifatkan tiada keperluan untuk usul seperti itu dikemukakan, Mukhriz  turut mempersoalkan apa niat sebenar parti dengan wakil minoriti itu mahu berbuat demikian.

“Macam mana mereka mahu usulkan dengan hanya 19 kerusi dalam Parlimen?

"Saya tak pasti apa kaedah dan keperluan Pas berbuat demikian,” tegas Menteri Besar Kedah itu.

Mukhriz mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS,  Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang berkata parti pembangkang itu akan kemukakan usul menyokong kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan itu dibuat setelah desas desus satu gabungan baharu antara PAS, Umno dan Bersatu yang dinamakan Pakatan Nasional (PN) bakal terbentuk berakhir sebagai satu spekulasi semata-mata.

Sementara itu, Mukhriz menjelaskan pihaknya sendiri tidak tahu bagaimana isu pembentukan PN tercetus, seterusnya menjadi spekulasi politik tanah air.

“Setakat yang saya hadir mesyuarat Majlis Presiden PH, tak pernah ditimbulkan mengenai Pakatan Nasional. Istilah itu pun baru lagi, bukan istilah digunakan sebelum ini. Yang pernah kita dengar Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas,” kata anak perdana menteri itu.

Mukhriz sebelumnya hadir dalam sidang media selepas majlis penyampaian watikah jemputan Kontinjen Kedah ke Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal di Wisma Darul Aman.

Berhubung isu peralihan kuasa Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mukhriz berkata, perkara itu sudah beberapa kali diperjelaskan oleh kedua-dua pihak dan ia tidak sepatutnya menjadi isu lagi.

Post a comment

0 Comments