Najib dan Rosmah dipanggil ke SPRM pula


BEKAS Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dilapor hadir memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Kedua-dua mereka hadir di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, kira-kira 3 petang tadi untuk memberi keterangan berhubung pendedahan rakaman audio.

Ia susulan beberapa rakaman audio dipercayai membabitkan beberapa individu termasuk Najib, Rosmah dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada 8 Januari lalu.

Rakaman perbualan itu dipercayai ada hubung kait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Semua rakaman perbualan yang didedahkan itu dipercayai berlaku di antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada pihak tidak didedahkan, tetapi agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit tulen.



Sementara itu, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan memanggil Najib dan Rosmah bagi membantu siasatan berhubung rakaman itu.

“Najib dan Rosmah tiba di akademi kira-kira jam 3 petang dan dirakam percakapan selama satu jam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009," kata kenyataan itu.

Sementara tadi, Najib dan Rosmah hadir memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan susulan pendedahan klip audio berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini dilapor berkata, lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi siasatan berhubung pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM.
 

Post a comment

0 Comments