Negeri Kedah umum anjak waktu solat Subuh


NEGERI
Kedah menjadi negeri terbaharu mengumumkan waktu baharu bagi solat Subuh apabila ia ditambah lapan minit berbanding takwim solat sedia ada.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang berkata, perubahan hanya melibatkan awal waktu solat Subuh dan Imsak dan ia akan berkuatkuasa bermula 25 Febuari ini.

Menurutnya, solat Subuh yang didirikan sebelum ini adalah sah dan tidak perlu diqada (digantikan).

"Perubahan masa ini adalah berdasarkan ketetapan perubahan darjah kedudukan altitud matahari di bawah ufuk dalam menentukan waktu terbit fajar sodiq," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-116 yang bersidang pada November lalu bersetuju bahawa permulaan waktu solat subuh di negara ini adalah menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk yang menyebabkan kepada perubahan waktu solat berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, menegaskan keputusan adalah berdasarkan penyelidikan komprehensif selama setahun oleh jabatan itu bersama pakar dari Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Teknologi Mara dalam menentukan hukum nilai altitud matahari di bawah ufuk bagi penentuan awal waktu solat subuh di negara ini.

beberapa negeri di semenanjung sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaa waktu baharu bagi solat Subuh itu.

Post a comment

0 Comments