Nik Nazmi selar cubaan tubuh 'kerajaan pintu belakang'


AHLI parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengkritik apa-apa percubaan bagi mengkhianati Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui penubuhan 'kerajaan pintu belakang'.

Tegasnya, tindakan seperti itu secara jelas satu bentuk pengkhianatan kepada undi rakyat dan bukan contoh baik untuk sistem demokrasi diamalkan di negara ini.

Nik Nazmi berkata begitu susulan desas desus hasrat UMNO mahu menjalin kerjasama dengan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

"Jika benar ada pimpinan UMNO yakin dengan perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu, mereka sepatutnya meninggalkan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Ketika Dr Mahathir dihina dan diserang bertalu-talu. Bukan ketika Pakatan Harapan (PH) sudah menjadi kerajaan.

"Mewujudkan kerajaan pintu belakang hanya akan mencemarkan amalan demokrasi dan mengundang ketidakstabilan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, UMNO masih efektif berfungsi sebagai pembangkang dan sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan hari ini.

"UMNO merupakan 'the grand old party' Malaysia yang pernah ditinggalkan presiden parti sebelum ini.

"Saya harap UMNO terus konsisten menjadi pembangkang yang baik, bertarung di gelanggang pilihan raya dengan bermaruah dari segi ideologi, dasar serta polisi. Bukan pertimbangan mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun," katanya dipetik.

Dr Mahathir sebelum ini pernah menyuarakan pendirian menolak sebarang kerjasama bersama Umno.

Post a comment

0 Comments