Orang Asli kecewa cubaan mansuh status hutan



PENDUDUK Orang Asli Kuala Langat nyata kesal terhadap Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dengan cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Semalam, kira-kira 300 masyarakat itu hadir ke Shah Alam menaiki 8 buah bas untuk bertemu Amirudin bagi menuntut pertimbangan supaya cadangan itu dipertimbang semula.

“Hutan simpan tempat kami. Dari dulu hingga sekarang kami sayang hutan itu. Terlalu lama, sejak dari kecil dari nenek moyang kami.

“Kalau ikut dalam sejarah kita dah duduk sejak 1845. Kami kesal dengan tindakan Amirudin mahu menyahwartaan hutan tersebut,” katanya wakil mereka, Rahman Pahat di depan Bangunan Sultan Salahuddin Abduk Aziz Shah.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Selangor mengeluarkan notis cadangan bagi memansuhkan pewartaan status hutan simpan itu menerusi ruangan iklan di akhbar tempatan.

Perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada badan bukan kerajaan dan orang awam dengan menyaksikan pentadbiran kerajaan negeri dikritik hebat.

Rahman berkata, kawasan hutan itu telah dikurnia Sultan Selangor kepada masyarakat Orang Asli di kawasan itu untuk didimi.

"Hutan itu diberikan oleh Sultan Abdul Samad Tengku Abdullah pada kami seluas 17,900 ekar,” katanya.

Alasan pembangunan


Sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Langart, Dr Xavier Jayakumar turut mengkritik kerajaan negeri pimpinan Amiruddin.

Tegasnya, tidak patut memansuhkan pewartaan hutan simpan kawasan yang menjadi penempatan Orang Asli dan habitat hidupan liar semata-mata dengan alasan pembangunan.

Orang Asli tolak cubaan mansuh status hutan
"Kita tidak boleh memusnahkan kawasan hijau atas dasar pembangunan, lebih-lebih lagi untuk kawasan yang telah diwartakan sejak tahun 1927," katanya.

Pendirian Xavier itu bagaimanapun kurang disenangi Amirudin yang kemudiannya mengkritik bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu.

Sebelum ini, Kumpulan alam sekitar seperti Malaysian Nature Society (MNS) dan Pusat Alam Sekitar Global (GEC) telah menentangnya, sambil menegaskan mengenai kepentingan hutan simpan sebagai hutan paya gambut.

GEC menyatakan bahawa kawasan itu adalah habitat bagi beruang matahari, Tupai Pygmy dan ikan laga merah Langat. Ia juga mengandungi pokok Meranti Bakau.

Malah petisyen atas talian yang dinamakan "Selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat" telah diwujudkan bagi menghalang cadangan pemansuhan status hutan berkenaan.

Post a comment

0 Comments