Palestin: Anwar gesa pemimpin Islam bersuara


PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua kerajaan negara Islam agar terus membela nasib umat Islam yang ditindas di Palestin.

Tegasnya, Sokongan terhadap rakyat Palestin yang ditindas rejim Israel perlu diterjemahkan dengan komitmen, bukan dengan tindakan retorik semata-mata.

"Jika saya diberi ruang untuk berkata, saya ingin menyeru kepada semua kerajaan negara Islam, kita sebagai negara Islam mempunyai kuasa dan rakyat kita (umat Islam) sedang berdepan dengan ketidakadilan. Itu rakyat kita," katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Kaukus dan Tadbir Urus Parlimen berkata begitu ketika memberi ucaptama dalam Majlis Makan Malam Perpisahan sempena Persidangan Liga Parlimen Al-Quds Kali Ketiga di Petaling Jaya malam tadi.

Tambahnya, dunia Islam memerlukan lebih ramai pemimpin yang berani bersuara menuntut keadilan untuk rakyat Palestin.

Sementara itu,  Anwar turut menyifatkan pelan damai yang dibawa oleh Donald Trump sebagai buah fikiran pemimpin itu sendiri secara peribadi.

"Pelan damai yang dikatakan itu bukan dari Amerika Syarikat, tetapi ia adalah buah fikiran Trump sendiri.

"Segenap lapisan masyarakat pelbagai agama menyokong perjuangan Palestin untuk menuntut hak dan kedaulatan mereka semula," kata Anwar

Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Penasihat Jawatankuasa Penganjur Persidangan Al-Quds, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pemimpin Palestin pada minggu lalu menolak cadangan damai dikemuka Trump kerana dianggap  menyebelahi Israel dan bertentangan dengan aspirasi rakyatnya.

Post a comment

0 Comments