Pelancong Eropah hilang di santuari orang utan


DUA
pelancong Eropah dilaporkan hilang di dalam kawasan hutan dihuni orang utan di Pusat Hidupan Liar Semenggok kira-kira 25 kilometer (km) dari sini hari ini, lapor Bernama.

Menurut portal itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Sarawak dimaklumkan kehilangan dua pelancong itu oleh seorang petugas pusat hidupan liar itu setelah kedua-dua lelaki berkenaan didapati tidak keluar dari kawasan itu selepas ditutup pada jam 4.30 petang tadi.

“Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dengan bantuan pasukan K9 (unit anjing pengesan) telah memulakan operasi mencari dan menyelamat kedua-dua pelancong lelaki berkenaan,” menurut PGO dalam kenyataan.

Maklumat awal diperoleh menyatakan kedua-dua lelaki itu tiba di pusat tumpuan pelancong popular itu kira-kira jam 8 pagi tadi, namun mereka tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai tiket.

"Ini telah mencetuskan pertengkaran mulut di antara beberapa petugas di pusat itu dengan kedua-dua lelaki berkenaan, namun mereka akhirnya dibenarkan masuk selepas beberapa pelancong lain yang berada di situ membantu membayar tiket mereka," menurut kenyataan itu lagi.

Sehingga jam 8 malam tadi, pasukan pencari masih belum menjumpai kedua-dua lelaki berkenaan.

Pusat Hidupan Liar Semenggok dibuka kepada orang ramai sejak tahun 1975 dan menjadi daya tarikan pengunjung dan pelancong asing ke negeri ini

Baru-baru ini, pusat itu meraih Anugerah Pelancongan Cemerlang Dunia 2020 di bawah kategori Program Pelancongan Mampan diwujudkan dalam sebuah kawasan hutan semula jadi yang dikatakan memiliki lebih 1,000 hidupan liar khususnya Orang Utan.
 

Post a comment

0 Comments