Pengurus akui 51 keping cek ditandatangani Zahid


BEKAS timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi dilapor menandatangani 51 keping cek  Yayasan Akal Budi bagi membuat pembayaran berjumlah RM31,082,732.57 atas pelbagai tujuan.

Pengurus Cawangan Affin Bank Cawangan Jalan Bunus, Kuala Lumpur, S Rajen Taran yang merupakan saksi pendakwaan ke-27 membuat pengakuan itu sambil merujuk pernyataan bertulis saksinya, ketika pemeriksaan utama oleh DPP Lee Keng Fatt.

Menurut Rajen, transaksi pembayaran itu melibatkan kiriman wang berjumlah RM17,953,185.21 kepada firma guaman Messrs Lewis & Co menerusi cek jurubank, dan 50 keping cek bernilai RM13,129,547.36 dari akaun yayasan itu, yang menurutnya memiliki "tandangan sah Ahmad Zahid".

Tambahnya, cek-cek tersebut antara lain melibatkan jumlah RM1,300,630.82 yang dibayar kepada "“Amislamic Bank Card Services for Ahmad Zahid Hamidi” dan RM61,406.99 yang dibayar kepada “Maybankard Centre for Ahmad Zahid Hamidi”.

Cek-cek itu juga ditandatangani untuk membayar RM360,000 kepada TS Consultancy & Resouces, RM1,300,000 kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia dan RM10,000,000 kepada Armada Holdings Sdn Bhd.

Dan RM107,509.55 kepada Ahmad Izhan Abdul Rashid (ejen insurans Allianz General Insurance yang menguruskan pembayaran polisi insurans dan cukai jalan Zahid).

Rajen membuat pernyataan itu setelah meneliti rekod cek, kiriman wang dan cetakan penyata kewangan milik Yayasan Akalbudi antara Disember 2012 hingga Mei 2018 yang jumlahnya didakwa kira-kira sama dengan nilai dakwaan dana diselewengkan.

Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden Umno kini berdepan 47 pertuduhan penyelewengan melibatkan jutaan ringgit dana yayasan yang dipengerusikannya itu.

Dalam pernyataan pembukaan sebelum ini, pihak pendakwaan mendakwa RM31 juta dana milik yayasan itu langsung tidak disalurkan kepada golongan miskin dan memerlukan, sebaliknya digunakan secara bertentangan dengan tujuan penubuhannya.

Melalui jejak aliran tunai yang dibentangkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan mendakwa, bahawa jumlah besar milik yayasan itu digunakan untuk, antara lain, membayar bil kad kredit peribadi, membeli polisi insurans kenderaan bermotor dan menjelaskan cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.
 

Post a comment

0 Comments