Penjawat awam digesa berkecuali - Cuepacs


KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan penjawat awam di negara ini agar mengekalkan pendirian ‘apolitical’ dan berkecuali.

Presidennya Adnan Mat membuat gesaan itu susulan situasi semasa politik negara.

Tambahnya ketika keadaan ini, penjawat mesti terus menjunjung dan mempertahankan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan.

"Semua penjawat awam perlu bertenang dan bersabar serta memberi fokus sepenuhnya dengan meneruskan tugas mengikut undang-undang bagi memastikan semua sistem penyampaian kerajaan terus berjalan lancar.

"Perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat mestilah diteruskan walaupun dalam situasi negara yang belum ada kerajaan tetapi sebenarnya penjawat awam penuh komitmen untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara bagi memastikan negara sentiasa aman dan damai," katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Cuepacs menegaskan semua penjawat awam dilarang sama sekali daripada menghadiri atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan berkaitan politik, membuat penyataan awam, mengedarkan atau menularkan berita palsu di media sosial atau medium komunikasi yang lain serta melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak undang-undang.

Jelasnya juga, Cuepacs turut menyokong langkah membentuk sebuah kerajaan yang kukuh demi memastikan kesejahteraan serta keharmonian rakyat dan negara.

Post a comment

0 Comments