Penyanyi wanita maut rempuh treler


SEORANG penyanyi wanita dilapor maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah treler membawa muatan sawit.

Mangsa, Loo Soo Wei, 49, tersepit dalam keretanya dan disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 88, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

Menurutnya, treler membawa muatan sawit itu pula dari arah bertentangan.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa
"Hasil siasatan awal, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang memandu bersendirian gagal mengawal kereta dipandunya lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

"Pemandu treler gagal mengelak lalu terlanggar kereta mangsa dan terseret hingga ke kanan jalan sebelum melanggar tiang elektrik," katanya dipetik satu laporan media.

Kamarulzaman berkata, akibat kejadian itu, treler berkenaan terbalik dan muatan sawit yang jatuh di atas jalan menghalang laluan.

Pemandu treler, Johar Omar, 39, dari Bandar Tun Razak dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu pihak bomba memaklumkan, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah bersama dua jentera ke lokasi kejadian untuk bantuan menyelamat.

Bomba bertindak mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Post a comment

0 Comments