Penyokong Azmin di Sabah dilapor telah 'dikuarantin'


SEBUAH parti gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Sabah dilapor telah mula mengeluarkan nama individu yang bersekutu dengan kem Mohammed Azmin Ali daripada aplikasi perbualan whatsapp.

Sumber yang dipetik laporan media berkata, tindakan itu dilakukan bagi membersihkan gabungan itu susulan krisis politik di peringkat nasional dan mengelak mudarat kepada kesejahteraan parti.

“Kami memeriksa semua kumpulan WhatsApp dan saluran komunikasi lain serta mengenal parti mereka yang berada dalam geng Azmin. Kami akan mengeluarkan mereka hari ini,” kata sumber tersebut.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sebelum ini memecat Azmin dan Naib Presiden, Zuraida Kamarudin kerana tindakan mereka yang dianggap mensabotaj HARAPAN.

Sembilan ahli Parlimen yang bersekutu dengan Azmin kemudiannya turut mengumumkan keputusan keluar daripada parti itu.

KEADILAN Sabah mempunyai 3 ahli Parlimen, iaitu Liew (Tawau), Awang Hussaini Sahari (Putatan) dan Jonathan Yassin (Ranau).

Ahli Parlimen Ranau itu antara 9 wakil rakyat yang meninggalkan parti itu.

Portal yang dipetik sementara itu turut mendedahkan beberapa nama individu lain yang dipercayai bersekutu dengan Azmin termasuk Ketua Wanita KEADILAN Sabah, Rahimah Majid.

Rahimah ketika dihubungi portal itu mengesahkan operasi “pembersihan” sudah bermula dan beliau menunggu pengumuman pemecatannya.
 

Post a comment

0 Comments