Perak digesa wartakan enakmen penyu


KERAJAAN
Negeri Perak digesa segera mewartakan enakmen atau peraturan perikanan berkaitan penyu dan telur penyu.

Gesaan itu dibuat Jabatan Perikanan Perak yang berharap dengan terwartanya enakmen tersebut, pengurusan serta kawal selia terhadap haiwan itu kelak dapat dikuatkuasakan.

Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata pewartaan itu penting bagi memastikan telur penyu tidak sewenang-wenangnya diambil oleh orang awam, langkah itu sekali gus dapat mengelak haiwan itu daripada pupus.

“Kami tidak boleh buat apa sebab tiada enakmen atau kaedah perikanan (diwartakan).

"Hanya Perak yang belum kuatkuasakan lagi berbanding negeri seperti Terengganu, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang, semuanya telah ada enakmen berkaitan penyu.

“Bagaimanapun kita dah bawa perkara ini kepada kerajaan negeri tahun lepas dan sekarang sedang tunggu keputusan untuk mewartakannya,” katanya.

Zaki sebelumnya merasmikan Program Hari Pengembangan Jabatan Perikanan Negeri Perak dan Malakoff Save Our Sea di Teluk Senangin  hari ini.

Sementara itu tambahnya, sebanyak 12,000 biji telur daripada 103 ekor penyu direkodkan di Perak tahun lepas dengan 75 peratus daripadanya berjaya menetas.

Jumlah berjaya ditetaskan itu katanya meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
 

Post a comment

0 Comments