Peralihan kuasa perdana menteri perlu dimuktamadkan


AHLI Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya memuktamadkan segera tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri di antara TunDr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, isu peralihan kuasa Perdana Menteri yang menimbulkan tanda tanya dikalangan rakyat merupakan isu sangat penting dan ia perlu diselesaikan segera demi memastikan ekonomi negara terus terjejas susulan ketidaktentuan politik.

"Pelabur termasuk pelabur dalam negara enggan melabur kerana isu peralihan kuasa Perdana Menteri masih gagal dimuktamadkan dengan rancangan peralihan itu masih tidak jelas.

"Saya menggesa Majlis Presiden HARAPAN segera memuktamadkan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri dan menjelaskannya kepada rakyat. Ini bagi memastikan keyakinan pelabur kepada Malaysia kembali pulih," katanya dipetik satu laporan sebelum ini.

Sebagai rekod, pada Oktober lalu, Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju jika isu peralihan jawatan Perdana Menteri dibincangkan dalam Majlis Presiden HARAPAN.

"Kalau nak bincang, boleh bincang dalam Majlis Presiden," katanya.

Tambah Mahathir, Majlis Presiden adalah tempat dimana cadangan untuk melantik para pemimpin HARAPAN dibuat dahulu.

Seorang Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi sebelum ini pernah memberi pandangan bahawa Anwar Ibrahim merupakan individu paling layak menjadi penganti Dr Mahathir.

Dr Awang turut menegaskan bahawa proses peralihan kuasa yang dipersetujui sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) juga perlu  berjalan dengan lancar bagi menjamin situasi politik dalam negara terus stabil.

"Jika terdapat pertangguhan peralihan kuasa, sudah pasti komponen HARAPAN akan bergolak dan krisis politik akan berlaku," tegasnya.

Post a comment

0 Comments