Perbuatan Nursajad berdosa - Mufti Wilayah


SEPERTI dijanjikan, pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akhirnya membuat kenyataan berhubung polimik ditimbulkan usahawan kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzzaman susulan isu bertelekung semasa menunaikan umrah.

Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan yang menegur perbuatan itu berkata, Muhammad Sajad atau lebih dikenali sebagai Nursajad perlu melakukan ibadah itu sebagai seorang lelaki.

“Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki. Sehingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan Muhammad Sajad Kamaruzzaman bagi membuktikan beliau adalah wanita.

“Maka, pendirian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan jantina beliau adalah berdasarkan apa yang tertera dalam daftar kad pengenalannya dan sijil kelahirannya. Justeru, segala hukum-hakam ibadat hendaklah diikut secara lelaki,” katanya.

Tindakan Nursajad sebelum ini dikritik ramai kerana dianggap memalukan agama dan mencalar hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenakan sekatan terhadap individu itu di media sosial.


Sementara itu, Zulkifli berkata, transgender wajib menunaikan umrah mengikut jantina asalnya kerana walaupun umrahnya sah jika mematuhi rukum umrah, perbuatannya haram dan dikira berdosa, serta boleh didenda kerana melanggar wajib umrah.

“Ini bertepatan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433H. Muzakarah menyimpulkan bagi mukhannas semula jadi atau disengajakan, maka hukum individu tersebut termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya.” tegasnya.

Post a comment

0 Comments