Perlu penguatkuasaan tegas cegah pemandu mabuk


PERTUBUHAN Bukan Kerajaan  (NGO) ,Ikatan Komuniti Selamat memuji keputusan kerajaan mengkaji semula Akta Pengangkutan Jalan untuk hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk.

Bagaimanapun, Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan bahawa langkah itu tidak akan berhasil sekiranya ia tidak disusuli penguatkuasaan lebih ketat.

Tegasnya, penguatkuasaan berintegriti harus dipertingkat untuk menghantar isyarat bahawa pihak berkuasa bersama-sama komuniti dalam usaha menangani masalah ini.

“Penyelidikan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan bahawa 23 peratus kematian dalam nahas jalan raya adalah disebabkan memandu dalam keadaan mabuk.

"Memandangkan pemandu mabuk dari segi statistik lebih cenderung menyebabkan kemalangan, tidak hairanlah jika kita kerap mendengar berita mengenai kematian akibat memandu dalam keadaan mabuk,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk meminda hukuman bagi pemandu yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, serta memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dengan hukuman denda maksimum RM100,000.

Katanya, selain denda, hukuman penjara terhadap pesalah akan dinaikkan kepada 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini.

Sementara itu, Lam Thye turut mengeluar gesaan rakyat Malaysia terutama pemandu agar menjadi masyarakat penyayang dan bertimbang rasa terhadap orang lain dengan bertanggungjawab diatas jalan raya.

Post a comment

0 Comments