Pernah tenat, lelaki dijangkiti koronavirus pulih


SEORANG
lelaki warga China yang dimasukkan ke wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru pada 24 Januari lalu akibat dijangkiti koronavirus dilapor telah pulih sepenuhnya.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa dibenarkan pulang hari ini selepas 8 hari menerima rawatan.

Difahamkan, mangsa dimasukkan ke hospital selepas gejala demam panas dan radang paru-paru (pneumonia)dan pernah berada dalam keadaan tenat sebelum ini.

“Keadaan pesakit bertambah tenat pada hari kedua di ward isolasi Hospital Permai, Johor Baru sehingga memerlukan bantuan oksigen,”

“Pihak hospital memulakan rawatan dengan ubat antiviral Kaletra (off-label use) pada 28 Jan 2020,” tulisnya menerusi Facebook. 

Beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan Hospital Permai, Johor Bahru yang diketuai Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr Masliza Zaid.

Noor Hisham berkata, keputusan positif itu menunjukkan jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak kes lain yang dilaporkan di China.

Rabu lalu, kanak-kanak warganegara China positif koronavirus dan dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Maliha, Langkawi disahkan sihat dan dibenarkan pulang.

Keputusan itu dicapai selepas hasil ujian pengesanan ulangan 2019-nCoV yang dijalankan ke atas kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun itu sebanyak 2 kali dan didapati ia negatif.

Post a comment

0 Comments