Pertemuan tukar k'jaan mungkin 'amaran palsu'


DAKWAAN
beberapa portal media yang mendakwa beberapa menteri telah mengosongkan jadual mereka dan mengemas meja di pejabat mereka tidak dapat disahkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak menerima apa-apa maklumat akan berlakunya rombakan kabinet dalam masa terdekat seperti didakwa.

Tambahnya, dia baru sahaja bercakap dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berada di pejabatnya di Putrajaya untuk menyiapkan pakej rangsangan ekonomi.

“Walaupun hari ini hari Ahad, namun beliau (Guan Eng) masih ke pejabat untuk bekerja jadi kami sendiri tidak ada maklumat berkaitan rombakan kabinet itu.

“Saya hanya mengetahui mengenai menteri  sudah mengemas meja melalui laporan media namun tidak tahu berkaitan isu ini,” katanya dipetik satu laporan.

Terdahulu sebuah portal melaporkan sesetengah menteri telah mengosongkan jadual mereka minggu depan, sementara yang lain mengemas meja di kementerian masing-masing susulan jangkaan akan berlakunya rombakan besar kabinet.

Beberapa parti juga dilapor mengadakan mesyuarat 'tergempar' selain  laporan pertemuan ‘rahsia’ di beberapa lokasi di ibu negara dipercayai ada kaitan dengan perkembangan pembentukan kerajaan baharu "pintu belakang'.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah pertemuan itu sebagai sebahagian lagi 'amaran palsu'.

Post a comment

0 Comments