Pintu berkunci, warga emas rentung dalam kebakaran


SEORANG
warga emas menemui ajal setelah gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah di kampung Batas Lintang, Kangar semalam.

Mangsa, Siti Aishah Saad, 85, ditemui rentung dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya dalam kejadian jam 12.25 tengahari itu.

Bagaimanapun menurut bomba, Siti Aishah cuba menyelamatkan dirinya namun gagal kerana pintu bahagian hadapan rumahnya itu berkunci.

"Warga emas terbabit dipercayai ada berusaha menyelamatkan diri namun gagal untuk keluar kerana terperangkap akibat pintu di ruang tamu itu berkunci.

"Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 30 minit sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.20 petang," kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1, Ruhisha Haris.

Sementara itu jelas Ruhinsa lagi, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.29 tengah hari, pasukan bomba tiba ke lokasi kejadian kira-kira enam minit kemudian .
Ruhisha Haris

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, didapati rumah didiami warga emas itu terbakar sebelum merebak ke sebuah rumah kosong berhampiran.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat," jelas beliau sambil berkata punca kebakaran berkenaan masih dalam siasatan.

Post a comment

0 Comments