Projek Solar: Bekas SU dakwa Najib beri arahan.


BEKAS
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendakwa ada arahan khusus dikeluarkan bekas Perdana Menteri Najib Razak kepada Menteri Pendidikan agar mematuhi arahannya melaksana projek kontroversi solar hibrid.

Dr Madinah berkata, arahan itu dikeluarkan melalui satu minit yang ditulis kepada Jepak Holdings pada bulan Jun 2016 kepada Mahdzir Khalid bagi mematuhi minit awal Najib yang ditulis pada bulan November 2015.

Dalam minit yang ditujukan kepada Mahdzir pada November 2015, Najib menyatakan "sila laksana" perjanjiannya dengan cadangan Jepak untuk melaksanakan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah di Sarawak melalui minit terdahulu.

Madinah, saksi pendakwaan keenam berkata begitu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika prosiding kes rasuah membabitkan isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor.

Tambah Madinah, walaupun beliau mempunyai kuasa untuk tidak mematuhi arahan Perdana Menteri ketika itu yang bertentangan dengan peraturan dan prosedur kerajaan namun ada keadaan tertentu Menteri Kewangan yang juga Najib ketika itu, boleh mengatasi keputusan berkenaan.

Menurutnya, jika dalam keadaan biasa, minit Perdana Menteri yang mengatakan "sila pertimbangkan" atau "sila laksanakan" sudah dianggap sebagai arahan yang besar.

Madinah dalam keterangannya semalam, memberitahu mahkamah bahawa pemberian projek bernilai RM1.25 bilion untuk memasang sistem solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak tidak mengikut prosedur.

Madinah yang kemudian dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkata telah mengarahkan audit dijalankan terhadap projek berkenaan.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Post a comment

0 Comments