Rakyat China dari dua lagi wilayah disekat masuk M'sia


KERAJAAN Persekutuan hari ini mengumumkan sekatan baharu terhadap pelawat dari negara China susulan penularan wabak koronavirus.

Selepas menutup pintu sempadan buat penduduk wilayah Hubei termasuk Wuhan, sekatan kini diperluas kepada penduduk wilayah Zhejiang dan wilayah Jiangsu berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini berikutan tindakan pihak berkuasa di China, termasuk pihak berkuasa tempatan yang membuat sekatan pergerakan keluar dan masuk terhadap wilayah Zhejiang melibatkan 5 bandar dan wilayah Jiangsu (2 bandar).

“Selaras dengan keputusan pada 27 Jan lalu, iaitu sekatan perjalanan akan dikuatkuasakan mengikut wilayah yang dikenakan sekatan pergerakan oleh kerajaan China, maka diputuskan sekatan perjalanan diperluaskan terhadap 2 lagi wilayah berkenaan berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Kerajaan pada 27 Jan lepas menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta sekelilingnya.

Pada masa yang sama, Wan Azizah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut meminta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperketatkan lagi syarat sekatan untuk memastikan semua pelancong tanpa mengira kerakyatan yang pernah mengunjungi atau berada di 3 wilayah terlibat supaya tidak memasuki negara ini dalam tempoh 14 hari selepas itu.

Post a comment

0 Comments